TABUNG KEBAJIKAN AM

1. Tajuk

  1. Aturan ini adalah dinamakan “Aturan Tabung Kebajikan Am”  Koperasi Universiti Teknologi Malaysia Berhad
  2. Aturan ini diwujudkan di bawah Undang-undang kecil 45(2)(w) Koperasi ini dan berkuatkuasa selepas persetujuan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi ini.

2. Tafsiran

Di dalam aturan ini, melainkan ada sesuatu perkara atau perkataan yang berlainan maknanya, maka tafsiran berikut adalah dipakai :-

‘Koperasi’
maknanya Koperasi Universiti Teknologi Malaysia Berhad.
‘anggota’
maknanya anggota Koperasi Universiti Teknologi Malaysia Berhad.
‘Waris’
Waris terdekat – Seorang kakak atau seorang abang Anggota yang sudah berkahwin – Suami atau isteri atau anak. Anggota yang masih bujang – Ayah atau ibu atau waris terdekat atau penama.
‘Lembaga’
maknanya Lembaga Koperasi Universiti Teknologi Malaysia Berhad.

3. Tujuan

  1. Tujuan Tabung Kebajikan Am ini diwujudkan ialah untuk:
    1. membantu anggota atau waris anggota yang sakit dan tidak berupaya mengikut bil atau RM 500 atau amaun yang tidak melebihi jumlah tersebut.
    2. membantu anggota-anggota yang ditimpa bencana.
    3. memberi sumbangan kepada anggota-anggota yang menunaikan fardhu haji buat kali pertama.
    4. memberi sumbangan hadiah kecemerlangan kepada anak-anak anggota yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.
    5. memberi sumbangan kepada anggota yang berkahwin buat kali pertama sebanyak Rm100.00
    6. memberikan sumbangan kepada anggota yang dimasukkan ke hospital lebih daripada 3 hari sebanyak Rm100.00
  2. Bantuan yang disalurkan kepada anggota tertakluk kepada budi bicara Lembaga Koperasi ini.

4. Sumber Kewangan

Sumber kewangan bagi Tabung Kebajikan Am Koperasi ini adalah diperolehi daripada:-

  1. sumbangan sebanyak tidak lebih sepuluh peratus (10%) daripada baki keuntungan bersih Koperasi selepas ditolak pembahagian-pembahagian seperti yang disebutkan oleh Undang-undang kecil 65.
  2. derma dan sumbangan luar yang diterima khas untuk Tabung Kebajikan Am ini.

5. Pentadbiran Tabung

  1. Tabung Kebajikan Am Koperasi ini hendaklah ditadbirkan oleh Jawatankuasa Kecil Kebajikan Am yang dilantik oleh Lembaga Koperasi di bawah Undang-undang kecil 45 (2)(v).
  2. Mereka yang diberi kuasa mengeluarkan wang oleh Undang-undang Kecil Koperasi adalah dengan sendirinya menjadi ahli Jawatankuasa Kecil ini.

6. Tahun Kewangan

Tahun Kewangan Tabung Kebajikan Am Koperasi hendaklah bermula pada 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.

7. Pelaburan

  1. Lembaga Koperasi bolehlah apabila difikirkan sesuai melaburkan semua atau sebahagian daripada wang Tabung Kebajikan Am ini di dalam mana-mana badan atau pertubuhan atau di dalam apa-apa bentuk sekalipun tertakluk kepada Undang-undang Kecil 63 Koperasi.
  2. Apa-apa perolehan daripada pelaburan ini hendaklah dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan Am ini untuk digunakan bagi maksud dan tujuan tabung atau dilaburkan semula bagi menambah kewangan Tabung Kebajikan Am Koperasi ini.

8. Permohonan

  1. Semua permohonan untuk mendapatkan bantuan derma dari Tabung Kebajikan Am Koperasi ini disertakan bersama – sama dokumen – dokumen yang mengesahkannya.

9. Derma

  1. Derma kepada pemohon-pemohon yang layak adalah tidak melebihi kadar berikut :-
    1. Sumbangan anggota yang ditimpa bencana alam atau musibah yang lain:-
      Kebakaran kediaman – RM 500
      Banjir kediaman – RM 500
    2. Sumbangan anggota yang menunaikan fardhu haji buat pertama kali iaitu sebanyak RM 300
    3. * Sumbangan Hadiah Kecemerlangan kepada anak-anak anggota yang cemerlang di dalam peperiksaan iaitu:-
      UPSR (5A) – RM 75
      PMR (Minimum 8A) – RM 100
      SPM (Minimum 7A) – RM 150
      STPM (5P) – RM 200
  2. Kadar yang boleh dibayar oleh Lembaga kepada sesuatu permohonan ini bergantung kepada kedudukan kes dan kewangan Tabung Kebajikan Am Koperasi ini, tetapi semua pembayaran tidaklah boleh melebihi had maksimum yang telah ditetapkan itu.

    *rujuk Aturan Kumpulan Wang Pendidikan KUTMB

10. Memproses Permohonan

  1. Borang-borang permohonan apabila diterima hendaklah diproses oleh Jawatankuasa Kecil Tabung Kebajikan Am Koperasi ini.
  2. Jawatankuasa kecil ini hendaklah menentukan permohonan-permohonan itu dibuat mengikut kehendak dan syarat-syarat Aturan-aturan ini sebelum diperakukan kepada Lembaga.
  3. Perakuan tersebut hendaklah dibuat di dalam borang yang disediakan oleh Koperasi.

11. Pembayaran

  1. Semua pembayaran hendaklah dibuat dengan cek kecuali apa-apa amaun yang tidak melebihi RM 100.
  2. Bayaran hanya akan dibuat setelah Jawatankuasa Tabung Kebajikan Am ini meluluskannya. Segala pembayaran hendaklah dibawa kepada mesyuarat Lembaga untuk disahkan.

12. Penggantungan Derma

  1. Jika  Tabung Kebajikan Am Koperasi ini mengalami kesulitan kewangan, maka Lembaga hendaklah menggantung aktivitinya sehingga kesulitan kewangan itu dapat dipulihkan semula.
  2. Anggota-anggota Koperasi hendaklah diberitahu melalui surat pekeliling mengenai penggantungan atau pemulihan semula Tabung Kebajikan Am ini.

13. Makluman Kepada Mesyuarat Agung

Lembaga hendaklah membentangkan di dalam mesyuarat agung laporan-laporan mengenai aktiviti-aktiviti tabung Kebajikan Am ini serta membuat cadangan-cadangan bagi menambahbaikkannya.

14. Pertikaian

Jika berbangkit sebarang perselisihan faham di atas tafsiran Aturan-aturan ini atau timbul apa-apa perbalahan mengenainya, maka pertikaian itu hendaklah dirujuk kepada Ketua Pendaftar mengikut Undang-undang Kecil 80 Koperasi ini.

Anda berada di sini:UTAMA PEMBIAYAAN ATURAN TABUNG KEBAJIKAN AM