Peraturan Koperasi

Peraturan-peraturan Koperasi, 1995

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 86 Akta Koperasi 1993, Menteri membuat peraturan-peraturan yang berikut:

Kandungan

Bahagian 1: Permulaan

1. Nama dan mula berkuatkuasa.

Peraturan-peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan Koperasi 1995 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada 1hb Januari 1995

2. Tafsiran.

Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

Akta
ertinya Akta Koperasi 1993;
anggota eksekutif lembaga
ertinya mana-mana orang yang dilantik sebagai anggota sepenuh masa Lembaga koperasi berdaftar dan terlibat dengan pentadbiran dan pengurusan harian urusan dan perniagaan koperasi berdaftar itu;
Menteri
ertinya Menteri yang pada masa ini dipertanggungjawabkan dengan pembangunan koperasi.

Bahagian 2: Pendaftaran

3. Pemohonan pendaftaran.

  1. Tiap-tiap perrnohonan pendaftaran sesuatu koperasi hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pendaftar dalam borang yang ditetapkan dalam Jadual I dan hendaklah ditandatangani menurut subseksyen 6(1) Akta.
  2. Tiap-tiap permohonan hendaklah disertakan dengan tiga salinanundang-undang kecil yang dicadangkan bagi koperasi itu dan satu salinan minit mesyuarat agung permulaan yang ditandatangani menurut subseksyen 6(2) Akta.
  3. Jika permohonan atau undang-undang kecil yang dikemukakan itu tidak mematuhi Akta atau Peraturan-Peraturan ini, Ketua Pendaftar boleh memulangkannya kepada pemohon dan mengarahkan apa-apa pengubahan yang perlu dibuat kepadanya.
  4. Apabila koperasi itu didaftarkan, ketiga-tiga salinan undang-undang kecil koperasi itu hendaklah tandatangani dan dimeteraikan oleh Ketua Pendaftar, yang satu daripadanya hendaklah dikembalikan kepada koperasi itu berserta dengan perakuan pendaftaran.

4. Maklumat tambahan sebelum pendaftaran.

Bagi maksud peraturan 3, Ketua Pendaftar boleh meminta pemohon memberi maklumat-maklumat tambahan yang berikut:

  1. kepentingan ekonomi bakal anggota bagi penubuhan koperasi yang hendak didaftarkan itu;
  2. daya maju aktiviti yang hendak dijalankan oleh koperasi itu;
  3. ada tidaknya modal yang meneukupi bagi memulakan operasi operasi itu; dan
  4. ada tidaknya orang yang berkebolehan untuk mengarah dan mengurus hal-ehwal koperasi itu menurut undang-undang kecilnya.

Bahagian 3: Kewajipan-kewajipan dan Keistimewaan-keistimewaan Koperasi-koperasi Berdaftar

5. Undang-undang Kecil

  1. Koperasi hendaklah memperuntukkan dalam undang-undang kecilnya perkara yang berikut:
    1. nama dan alamat berdaftar koperasi itu;
    2. kawasan operasinya;
    3. tujuan koperasi itu ditubuhkan dan maksud-maksud yang wangnya boleh digunakan;
    4. kelayakan yang diperlukan untuk menjadi anggota, terima penerimaan masuk anggota dan cara penggantungan dan pemecatan anggota;
    5. hak dan liabiliti anggota;
    6. cara modal boleh dikumpulkan;
    7. cara perlantikan, pengosongan jawatan, penggantungan dan pemecatan pegawai koperasi, dan tugas dan kuasa pegawai tersebut;
    8. cara memanggil dan menjalankan mesyuarat dan hak mengundi;
    9. urusan am perniagaan koperasi itu;
    10. pelupusan keuntungan; dan
    11. pemberikuasaan kepada pegawai atau pegawai-pegawai untuk menandatangani dokumen bagi pihak koperasi itu.
  2. Koperasi boleh memasukkan dalam undang-undang kecilnya apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal dan perniagaannya.

6. Pindaan undang-undang kecil

  1. Koperasi boleh, selepas pendaftarannya, meminda undang-undang kecilnya mengikut cara berikut:
    1. tiap-tiap pindaan hendaklah dibuat menurut ketetapan yang diluluskan oleh suatu majoriti di mesyuarat agung koperasi berdaftar itu;
    2. notis yang tidak kurang daripada lima belas hari sebelum mesyuarat agung itu hendaklah diberikan kepada anggota-anggotanya; dan
    3. tidak kurang daripada dua pertiga daripada anggota atau perwakilan atau kedua-duanya koperasi berdaftar itu hendaklah hadir di mesyuarat agung tersebut.
  2. Walau apa pun subperaturan (1), Ketua Pendaftar boleh, dengan perintah secara bertulis, mengisytiharkan bahawa-
    1. dalam hal koperasi asas yang mesyuarat agungnya dihadiri oleh anggota individu hendaklah menurut kuorum yang ditetapkan dalam Jadual V, mengikut mana-mana yang kurang;
    2. dalam hal koperasi berdaftar yang mesyuarat agungnya dihadiri oleh perwakilan, satu pertiga daripada jumlah perwakilan atau lima ratus perwakilan, mengikut mana-mana yang kurang, yang hadir di mesyuarat agung itu adalah mencukupi bagi meminda undang-undang kecil, tetapi tiada undang-undang kecil boleh dipinda di bawah subperaturan ini melainkan jika dua pertiga daripada anggota atau perwakilan yang hadir mengundi bersetuju dengan cadangan itu.
  3. Peruntukan subperaturan (2) tidaklah terpakai bagi koperasi menengah atau atasan atau koperasi asas yang wakil ke mesyuarat agungnya adalah melalui perwakilan
  4. Tiga salinan pindaan kepada undang-undang kecil dan satu salinan resolusi mesyuarat agung yang meluluskan pindaan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pendaftar sama-sama dengan borang permohonan yang ditetapkan dalam Jadual II. Permohonan tersebut hendaklah ditandatangani oleh Pengerusi dan dua anggota Lembaga dan hendaklah mengandungi maklumat yang berikut:
    1. tarikh mesyuarat agung di mana pindaan itu diluluskan;
    2. bilangan hari notis diberikan untuk memanggil mesyuarat agung itu;
    3. jumlah bilangan anggota koperasi itu pada tarikh mesyuarat agung tersebut;
    4. bilangan anggota atau perwakilan yang hadir di mesyuarat agung itu; dan
    5. bilangan anggota atau perwakilan yang mengundi menyokong pindaan itu.
  5. Permohonan untuk mendaftarkan pindaan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pendaftar dalam masa tiga bulan dari tarikh mesyuarat agung di mana pindaan tersebut diluluskan.
  6. Jika Ketua Pendaftar meluluskan permohonan itu, dia hendaklah mendaftarkannya dan mengembalikan satu salinan pindaan itu bersama-sama dengan perakuan pendaftaran itu kepada pemohon.
  7. Bagi maksud peraturan ini, rujukan kepada anggota hendaklah ditafsirkan sebagai rujukan kepada perwakilan dalarn hal koperasi berdaftar yang mesyuarat agungnya dihadiri oleh perwakilan.

7. Penama.

  1. Mana-mana anggota koperasi berdaftar yang bukan Muslim boleh secara bertulis, di hadapan sekurang-kurangnya dua saksi yang mengakusaksikan perkara yang sama atau dengan suatu akuan yang dibuat sewajarnya, menamakan mana-mana orang yang kepadanya syer atau kepentingannya atau nilai syer atau kepentingannya itu atau apa-apa wang yang disebut dalam seksyen 24 Akta yang kena dibayar kepadanya boleh, dengan kematian anggota itu, dibayar atau dipindahkan menurut seksyen tersebut, dan boleh dengan cara yang sama, dari semasa ke semasa, membatalkan atau menukar penamaan tersebut. Dalam hal-hal sedemikian, nilai syer atau kepentingan anggota itu hendaklah dirupakan oleh sejumlah wang yang sebenamya dibayar oleh anggota itu untuk memperolehi syer atau kepentingan tersebut melainkan undang-undang kecil itu memperuntukkan cara pengiraan yang lain.
  2. Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah menyimpan suatu daftar semua orang yang dinamakan itu.
  3. Penama boleh menjadi anggota koperasi itu jika dia diterima mengikut undang-undang kecil koperasi itu.
  4. Resit yang diberikan oleh seseorang yang belum dewasa atau penjaganya bagi apa-apa wang yang dibayar kepadanya oleh koperasi berdaftar adalah suatu pelepasan yang mencukupi kepada koperasi berdaftar itu.

8. Pelupusan hasil kepada atau melalui koperasi berdaftar

  1. Tiap-tiap anggota koperasi pemasaran hendaklah menghantar serah kepada koperasi itu, di suatu tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Lembaga sejumlah artikel yang dihasilkan atau diperolehi olehnya, seperti yang ditetapkan dalam undang-undang kecil atau kontrek yang releven, untuk dilupuskan oleh koperasi itu.
  2. Mana-mana anggota yang dibuktikan atau diputuskan bersalah mengikut peruntukan seksyen 20 Akta kerana melanggar undang-undang kecil atau kontrek yang releven, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah membayar kepada koperasi itu sebagai gantirugi jumlah tertentu suatu jumlah wang yang ditaksirkan secara khusus atau ditentukan mengikut cara yang ditetapkan oleh undang-undang kecil atau kontrak yang releven, dan jumlah wang tersebut hendaklan disifatkan sebagai hutang yang kena dibayar kepada koperasi itu.

9. Salinan catatan buku

Bagi maksud seksyen 16 Akta, suatu salinan apa-apa catatan dalam sesuatu buku koperasi berdaftar bolehlah diperakui melalui suatu akaun yang bertarikh dan ditandatangani oleh pengerusi atau setiausaha atau orang yang diberikuasa oleh koperasi berdaftar itu dan adalah suatu salinan benar catatan tersebut.

Bahagian 4: Hak-hak dan Liabiliti-liabiliti Anggota-anggota

10. Menandatangani ikrar

  1. Sebelum seseorang diterima menjadi anggota sesuatu koperasi berdaftar, dia hendaklah menandatangani suatu ikrar bahawa dia akan terikat dengan undang-undang kecil yang sedia ada bagi koperasi itu dan dengan apa-apa pindaan kepada undang-undang kecil tersebut yang dibuat di sisi undang-undang semasa tempoh keanggotaannya.
  2. Seseorang yang telah pun menjadi anggota atas sebab penyertaannya dalam memohon pendaftaran koperasi itu adalah dikehendaki menandatangani ikrar yang sama dalam masa empat puluh lima hari selepas menerima perakuan pendaftaran itu. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan dia dipecat.

11. Penyingkiran daripada keanggotaan

Koperasi berdaftar hendaklah menyingkir daripada keanggotaannya mana-mana orang yang didapati telah diterima bertentangan dengan seksyen 26, 27 atau 29 Akta, selepas berkuatkuasanya Akta.

Bahagian 5: Organisasi dan Pengurusan Koperasi-koperasi Berdaftar

12. Fungsi mesyuarat agung

  1. Tertakluk kepada subperaturan (2), fungsi-fungsi mesyuarat agung koperasi berdaftar hendaklah termasuk yang berikut:
    1. mengesahkan minit mesyuarat agung tahunan yang terdahulu dan mana-mana mesyuarat agung khas yang berselang;
    2. menimbang laporan-laporan Lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalaman, dan pandangan Ketua Pendaftar mengenai akaun-akaun teraudit dan laporan Lembaga koperasi;
    3. menimbang dan meluluskan akaun-akaun teraudit koperasi berdaftar dan subsidiari atau subsidiari-subsidiarinya, jika ada, bersama dengan laporan juruaudit;
    4. memilih anggota-anggota Lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalaman;
    5. menimbang dan meluluskan belanjawan tahunan bagi tahun kewangan yang akan datang;
    6. meluluskan elaun-elaun kepada anggota Lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalaman dan saraan kepada anggota lembaga yang dilantik sebagai pengarah subsidiari atau subsidiari-subsidiari koperasi itu, jika ada;
    7. meluluskan perlantikan suatu panel yang terdiri daripada tidak kurang daripada dua firma audit untuk mengaudit akaun-akaun;
    8. menimbang dan meluluskan skop dan had pelaburan yang dibiayai oleh wang berlebihan koperasi;
    9. menentukan had maksimum keterhutangan;
    10. melantik suatu jawatankuasa yang terdiri daripada enam orang anggota atau perwakilan dan empat orang anggota Lembaga untuk menentusahkan draf minit mesyuarat agung tahunan;
      1. menimbang dan meluluskan pembahagian keuntungan.
    11. mengisytihar atau menerbitkan syer-syer bonus;
    12. mendengar, menimbang atau memutuskan apa-apa urusan lain koperasi yang suatu notis yang tidak kurang daripada tujuh hari telah diberikan;
    13. menimbang danmeluluskan apa-apa cadangan pindaan kepada undang-undang kecil koperasi;
    14. mendengar dan memutuskan apa-apa aduan, yang suatu notis yang tidak kurang daripada tujuh hari telah diberikan kepada koperasi berdaftar itu, yang dikemukakan oleh anggota yang terkilan dengan sesuatu keputusan Lembaga;
    15. meluluskan apa-apa perbelanjaan bagi perlantikan orang-orang yang kompeten untuk membantu Jawatankuasa Audit Dalaman; dan
    16. menimbang dan meluluskan apa-apa laporan yang hendak dikemukakan menurut Peraturan-Peraturan ini, jika ada.
  2. Fungsi-fungsi di bawah perenggan (1)(a). (b), (c.), (d) dan (e) hendaklah diputuskan oleh mesyuarat agung tahunan.

13. Kuorum bagi mesyuarat agung.

  1. Tertakluk kepada yang berikut, kuorum bagi mesyuarat agung dan mesyuarat agung khas sesuatu koperasi berdaftar bagi apa-apa maksud selain daripada bagi meminda undang-undang kecil adalah seperti berikut:
    1. Kuorum bagi koperasi asas yang dihadiri oleh anggota individu hendaklah tertakluk kepada kategori yang ditetapkan dalam Jadual VI, mengikut mana-mana yang kurang; atau
    2. Kuorum bagi suatu koperasi berdaftar yang dihadiri oleh perwakilan hendaklah tidak kurang daripada satu pertiga perwakilan.
  2. Sesuatu mesyuarat agung khas yang tidak boleh bersidang kerana ketiadaan kuorum pada tarikh asal (“tarikh yang ditetapkan”) hendaklah-
    1. jika dipanggil oleh Lembaga, atau atas rekuisisi anggota atau perwakilan menurut subseksyen 40(1) Akta, dibatalkan; atau
    2. jika dipanggil menurut subseksyen 40(2) Akta, ditunda ke suatu tarikh lain yang tidak kurang daripada empat belas hari tetapi tidak lebih daripada tiga puluh hari dari tarikh yang ditetapkan dan apa-apa bilangan anggota atau perwakilan yang tidak kurang daripada dua kali ganda bilangan anggota Lembaga, yang hadir pada tarikh lain itu hendaklah disifatkan membentuk suatu kuorum:

      Dengan syarat bahawa –

      1. notis berkenaan penundaan hendaklah diposkan kepada semua anggota atau pewakilan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh yang ditetapkan;
      2. perkara-perkara yang dicadangkan bagi mesyuarat yang ditunda itu hendaklah dibincang pada mesyuarat yang diadakan pada tarikh lain itu; dan
      3. keputusan yang dibuat dengan undi dua pertiga anggota atau perwakilan yang hadir dan layak mengundi hendaklah terpakai.
  3. Walau apa pun perenggan (1)(a) Ketua Pendaftar boleh, dengan perintah secara bertulis, atas permohonan suatu koperasi asas yang tidak tertakluk kepada perenggan 37(a) Akta, menetapkan apa-apa bilangan anggota yang difikirkan sesuai, tidak kurang daripada satu perdua puluh anggota sesuatu koperasi asas itu sebagai suatu kuorum bagi mesyuarat agungnya bagi menjalankan apa-apa urusan selain daripada meminda undang-undang kecil.

14. Belanjawan Tahunan

  1. Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah menyediakan suatu belanjawan tahunan dalam bentuk yang menunjukkan dengan jelas segala butiran pendapatan dan perbelanjaan dan hendaklah dikemukakan bagi kelulusan mesyuarat agung tabunan.
  2. Perbelanjaan koperasi berdaftar tidak boleh melebihi lima peratus daripada amaun yang diperuntukkan dalam belanjawan yang disediakan di bawah subperaturan (1) kecuali dengan kebenaran mesyuarat agung.

15. Urusan mesyuarat agung wilayah atau kawasan

  1. Mesyuarat agung wilayah atau kawasan sesuatu koperasi berdaftar hendaklah diadakan sekurang-kurangnya dua tahun sekali iaitu satu bulan sebelum mesyuarat agung tahunan koperasi itu dan hendaklah menimbangkan yang berikut:
    1. ringkasan-
      1. draf akaun, atau
      2. akaun  teraudit, jika ada, koperasi;
    2. belanjawan tahunan untuk dibentangkan di mesyuarat agung tahunan koperasi;
    3. cadangan pindaan kepada undang-undang kecil koperasi, jika ada;
    4. melantik perwakilan ke mesyuarat agung tahunan koperasi; dan
    5. usul-usul daripada Lembaga dan anggota koperasi, jika ada, untuk dikemukakan kepada koperasi tujuh hari sebelum mesyuarat.
  2. Koperasi berdaftar hendaklah menyediakan set-set yang mencukupi dokumen-dokumen berkaitan dengan perkara yang ditetapkan dalam subperaturan (1) yang perlu diedarkan kepada anggota yang menghadiri mesyuarat agung wilayah atau kawasan.
  3. Kuorum bagi mesyuarat agung wilayah atau kawasan sesuatu koperasi berdaftar hendaklah sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang kecil.

16. Perlantikan dan pengosongan jawatan anggota Lembaga.

  1. Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah memperuntukkan Perlantikan dan perkara-perkara berikut dalam undang-undang kecilnya:
    1. sekurang-kurangnya satu pertiga daripada anggota Lembaga hendaklah mengosongkan jawatan mereka tiap-tiap tahun di mesyuarat agung tahunan; dan
    2. aturan yang ditetapkan dalam perenggan (a) hendaklah diulangi bergilir-gilir tiap-tiap tahun bagi dua pertiga anggota Lembaga yang selainnya supaya pada permulaan tahun ke empat atau lebih awal daripada itu, kesemua anggota Lembaga hendaklah telah mengosongkan jawatan masing-masing sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga tahun sebelum itu;

    Dengan syarat bahawa mana-mana anggota yang mengosongkan jawatannya di bawah subperaturan ini adalah layak untuk dilantik semula.

  2. Walau apa pun subperaturan (1), mesyuarat agung mempunyai kuasa untuk menamatkan Perlantikan kesemua atau mana-mana anggota Lembaga dengan syarat bahawa usul secara bertulis untuk menamatkan perlantikan anggota Lembaga itu telah diterima oleh koperasi sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum mesyuarat agung diadakan.

17. Butir-butir anggota Lembanga

  1. Suatu senarai anggota Lembaga yang mengandungi butir-butir seperti nama, alamat kediaman, nombor kad pengenalan, tarikh keanggotaan dan pekerjaan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pendaftar mengikut perenggan 14(a) Akta.
  2. Notis mengenai apa-apa perubahan tentang butir-butir anggota Lembaga itu hendaklah diberikan secara bertulis kepada Ketua Pendaftar dalam masa lima belas hari dari tarikh perubahan tersebut.

18. Pegawai atau pekerja menanggung rugi kerugian.

Seseorang anggota lembaga atau pekerja sesuatu koperasi berdaftar hendaklah menanggung rugi koperasi bagi apa-apa kerugian yang ditanggung oleh koperasi akibat daripada suatu transaksi yang dilakukan olehnya tanpa kebenaran Lembaga.

19. Anggota eksekutif Lembaga

Anggota eksekutif Lembaga mana-mana koperasi berdaftar hendaklah memegang jawatannya dengan syarat-

  1. dia tidak memegang jawatan eksekutif dalam mana-mana koperasi berdaftar lain;
  2. dia tidak memegang jawatan eksekutif dalam mana-mana subsidiari koperasi berdaftar yang dia adalah anggota eksekutif Lembaga subsidiari koperasi berdaftar itu; atau
  3. dia tidak digunakhidmat sepenuh masa di tempat lain.

20. Penggantungan anggota Lembaga tertakluk kepada pengesahan atau pengetepian

  1. Lembaga boleh menggantung mana-mana anggotanya jika suatu majoriti anggota Lembaga itu berpuas hati bahawa anggota tersebut telah bertindak dengan cara yang memudaratkan kepentingan koperasi berdaftar atau pergerakan koperasi.
  2. Seseorang anggota Lembaga yang digantung dibawah subperaturan (1) hendaklah dengan segera berhenti daripada menjalankan segala hak dalam pengurusan atau pentadbiran hal-ehwal koperasi berdaftar itu.
  3. Apa-apa penggantungan di bawah subperaturan (1) hendaklah tertakluk kepada pengesahan atau atau majoriti anggota di mesyuarat agung yang terawal yang diadakan selepas penggantungan itu.
  4. Sebelum mengesahkan atau mengetepikan penggantungan itu, mesyuarat agung hendaklah mendengar penjelasan anggota yang digantung oleh Lembaga itu jika dia memilih untuk berbuat demikian.

Bahagian 6: Harta dan Wang Koperasi Berdaftar

21. Kuasa mengeluarkan pinjaman kepada pekerja.

  1. Jika koperasi berdaftar meluluskan untuk mernberi apa-apa Pinjaman kepada pekerjanya dibawah perenggan 51(1)(b) Akta, koperasi berdaftar itu hendaklah memberitahu Ketua Pendaftar secara bertulis mengenai kelulusan tersebut dalam masa satu bulan dari tarikh kelulusan itu dan sebelum pemberian pinjaman itu.
  2. Pemberian pinjaman kepada pekerja hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Ketua pendaftar.
  3. Koperasi berdaftar boIeh meneruskan pemberian pinjaman kepada pekerja jika-
    1. Ketua Pendaftar memberitahu koperasi berdaftar itu bahawa dia tidak berhasrat menetapkan apa-apa syarat; atau
    2. dalam masa satu bulan selepas dimaklumkan di bawah subperaturan (1). Ketua Pendaftar tidak menetapkan apa-apa syarat.

22. Keluaran bon atau debentur.

Penerbitan bon atau debentur oleh koperasi berdaftar hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Ketua Pendaftar.

23. Syer tidak oleh disandarkan sebagai cagaran

Syer-syer koperasi berdaftar tidaklah boleh disandarkan kepada koperasi itu oleh anggotanya sebagai cagaran bagi sesuatu pinjaman.

24. Dividen.

Kadar dividen yang dibayar atas syer-syer atau yuran-yuran oleh sesuatu koperasi berdaftar hendaklah tidak melebihi sepuluh peratus setahun kecuali dengan kelulusan Ketua Pendaftar.

25. Keuntungan modal dan syer bonus.

  1. Koperasi berdaftar yang buku-buku dan rekod-rekodnya yang, pada pendapat Ketua Pendaftar, disenggarakan dengan memuaskan boleh, dalam mesyuarat agungnya, mengisytiharkan dan mengeluarkan syer bonus di bawah mana-mana peruntukan relevan seksyen 55 Akta-
    1. kepada anggota yang namanya ada dalam daftar anggota pada tarikh pengisytiharan syer bonus itu; dan
    2. berasaskan kepada syer-syer yang dipegang oleh tiap-tiap anggota pada masa dua belas bulan sebelum tarikh pengisytiharan syer bonus itu dan dalam hal penerbitan semula daripada syer bonus yang ditebus semula, dua belas bulan sebelum tarikh pengngisytiharaan itu.

26. Simpanan khas, deposit atau pinjaman.

Menurut perenggan 50 (d) dan (e) Akta, koperasi berdaftar hendaklah-

  1. menyatakan dalam undang-undang kecilnya, skim berhubungan dengan simpanan khas anggota atau deposit atau pinjaman daripada anggota atau yang bukan anggota;
  2. menyatakan terma dan syarat tiap-tiap skim dalam suratcara berasingan;
  3. mengemukakan suratcara skim itu kepada mesyuarat agung untuk kelulusan; dan
  4. mengemukakan suratcara yang diluluskan kepada Ketua Pendaftar dalam masa satu bulan selepas diluluskan.

Bahagian 7: Akaun dan Audit

27. Juruaudit koperasi berdaftar dan tugas juruaudit.

  1. Tiap-tiap koperasi berdaftar yang akaun-akaunnya diaudit oleh Ketua Pendaftar hendaklah membayar fee audit tersebut sebagaimana yang ditetapkan olehnya.
  2. Koperasi berdaftar yang bercadang untuk menggunakhidmat perkhidmatan seseorang juruaudit yang diluluskan di bawah subseksyen 61(1) Akta hendaklah memastikan bahawa-
    1. juruaudit tersebut adalah dari panel firma juruaudit yang diluluskan oleh mesyuarat agung; dan
    2. suatu suratcara perlantikan yang sepatutnya disempurnakan yang menetapkan tempoh perlantikan itu, fee, skop pengauditan dan apa-apa perkara lain yang relevan.
  3. Koperasi berdaftar itu hendaklah menyediakan suatu senarai buku dan dokumen yang diserahkan kepada juruaudit dan dibawa keluar dari premis koperasi. Satu salinan senarai tersebut, yang di atasnya juruaudit hendaklah memperakui penerimaan buku dan dokumen itu, hendaklah disimpan oleh koperasi berdaftar itu.
  4. Koperasi berdaftar itu hendaklah memberitahu Ketua Pendaftar tentang perlantikan juruaudit dengan mengemukakan satu salinan suratcara perlantikan yang dimaksudkan dalam perenggan 2(b)
  5. Ketua Pendaftar hendaklah pada bila-bila masa mempunyai akses kepada nota-nota kerja audit juruaudit yang dilantik itu.
  6. Menurut subseksyen 58(3) Akta, juruaudit koperasi berdaftar hendaklah melaporkan kepada Ketua Pendaftar mana-mana koperasi, yang dia adalah juruauditnya, yang belum menyerahkan akaun perdagangan dan untungrugi dan kunci kira-kira berserta dengan apa-apa dokumen lain, yang dikehendaki dikemukakan bagi maksud pengauditan, yang tidak diserahkan dalam tempoh lima belas hari setelah tamatnya tempoh dua bulan yang ditetapkan bagi penyediaan penyata dan dokumen yang dimaksudkan oleh subseksyen yang sama.
  7. Kegagalan koperasi berdaftar mematuhi tempoh yang ditetapkan dalam subperaturan (6) hendaklah dilaporkan kepada Ketua Pendaftar oleh juruaudit yang dilantik oleh koperasi berkenaan.
  8. Juruaudit sesuatu koperasi berdaftar hendaklah menyelesaikan audit koperasi berdaftar itu, yang dia adalah juruauditnya, dalam tempoh dua bulan selepas menerima akaun perdagangan dan untung rugi dan kunci kira-kira berserta dengan apa-apa dokumen lain koperasi itu yang dikehendaki bagi maksud pengauditan.
  9. Juruaudit sesuatu koperasi berdaftar hendaklah dengan serta-merta selepas selesai mengaudit dalam tempoh yang ditetapkan dalam subperaturan (8), mengemukakan kepada Ketua Pendaftar laporan pengurusan juruaudit sesuatu koperasi berdaftar.
  10. Menurut subseksyen 63(1) Akta, juruaudit koperasi berdaftar hendaklah melaporkan apa-apa luar aturan dalam akaun dan rekod relevan yang lain koperasi itu kepada Ketua Pendaftar dengan serta merta.
  11. Menurut subseksyen 59(2) Akta, Ketua Pendaftar boleh, bagi membolehkannya memberi pandangan yang sepatutnya mengenai akaun dan kunci kira-kira koperasi berdaftar itu dan subsidiari atau subsidiari-subsidiarinya, jika ada, meminta sesuatu koperasi berdaftar memberi maklumat dan dokumen tambahan kepadanya.

28. Kuasa-kuasa juruaudit.

Tiap-tiap juruaudit hendaklah pada setiap masa mempunyai akses kepada rekod perakaunan dan rekod-rekod lain termasuk daftar koperasi berdaftar itu dan berkuasa-

  1. memanggil, pada masa dia mengaudit, mana-mana pegawai atau bekas pegawai, ejen, pengkhidmat atau anggota koperasi yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai boleh memberi maklumat material berkenaan dengan apa-apa transaksi koperasi itu atau pengurusan hal-ehwal dan perniagaannya; dan
  2. meminta dikemukakan apa-apa buku atau dokumen berkaitan dengan hal-ehwal dan pemiagaan koperasi itu, atau apa-apa wang tunai atau sekuriti kepunyaan koperasi berdaftar itu oleh mana-mana pegawai atau bekas pegawai, ejen, pengkhidmat atau anggota koperasi yang memiliki buku, dokumen, wang tunai atau sekuriti tersebut, di tempat dan masa seperti yang ditentukan olehnya.

29. Buku, akaun dan penyata kewangan

  1. Menurut seksyen 58 Akta, sesuatu koperasi berdaftar menyimpan buku, akaun dan rekod tertentu sebagaimana, dari semasa ke semasa, yang ditetapkan atau diluluskan oleh Ketua Pendaftar dan hendaklah mengemukakan suatu penyata kewangan tiap-tiap tahun dalam bentuk dan cara yang ditetapkan oleh Ketua Pendaftar.
  2. Suatu senarai terperinci butir-butir perbelanjaan Lembaga dan bayaran kepada atau bagi pihak anggota individu Lembaga dan jawatankuasa hendaklah dimasukkan dalam nota kepada akaun untungrugi koperasi berdaftar itu.
  3. Menurut subseksyen 58(4) Akta, semua rekod tersebut yang disebutkan dalam subperaturan (1) hendaklah disimpan oleh koperasi selama enam tahun selepas diaudit.
  4. Bagi maksud peraturan ini, penyata kewangan adalah termasuk akaun perdagangan dan akaun untungrugi, akaun pembahagian, kunci kira-kira dan penyata sumber dan penggunaan wang koperasi berdaftar itu.

30. Pandangan Ketua Pendaftaran mengenai laporan Lembaga

  1. Akaun dan kunci kira-kira yang dikemukakan kepada Ketua Pendaftar menurut subseksyen 59(2) Akta hendaklah disertakan bersama-sama dengan salinan laporan yang disebutkan dalam perenggan 59(1)(c) Akta dan Ketua Pendaftar boleh memberi pandangan sebagaimana difikirkannya patut mengenai laporan itu.
  2. Pandangan tersebut, jika ada, hendaklah dibentangkan, bersama-sama dengan pandangan yang disebutkan dalam perenggan 59(1) (e) Akta dan akaun dan kunci kira-kira yang berkaitan dengannya, di mesyuarat agung tahunan koperasi berdaftar itu yang diadakan menurut seksyen 39 Akta selepas berakhirnya tahun kewangan yang akaun dan kunci kira-kira itu dibuat.
  3. Mana-mana pandangan Ketua Pendaftar yang disebutkan dalam subperaturan(l) dan (2) dan perenggan 59(1)(e) Akta diterima oleh koperasi berdaftar hanya selepas akaun dan kunci kira-kira dan laporan yang berkaitan dengannya telah dibentangkan di mesyuarat agung tahunan, pandangan tersebut hendaklah dibentangkan di mesyuarat agung tahunan berikutnya bersama-sama dengan akaun dan kunci kira-kira dan laporan bagi tahun kewangan berikutnya dan pandangan Ketua Pendaftar mengenainya.

31. Perlantikan juruaudit oleh Jawatankuasa Audit Dalaman.

  1. Jika, menurut perenggan 49(1)(b) Akta, Jawatankuasa Audit Dalaman sesuatu koperasi berdaftar melantik orang yang kompeten untuk memeriksa akaun koperasi itu, perbelanjaan yang ditanggung berkenaan dengan perlantikan dan pemeriksaan tersebut hendaklah diluluskan oleh mesyuarat agung.
  2. Orang yang dilantik di bawah subperaturan (1) hendaklah bukan orang yang sama yang perkhidmatannya telah atau akan digunakhidmat untuk mengaudit akaun koperasi berdaftar itu menurut subseksyen 60(1) Akta.
  3. Fee yang dibayar kepada mana-mana orang yang dilantik dibawah subperaturan (1) hendaklah dilaporkan kepada mesyuarat agung.

32. Pandangan Ketua pendaftar dan perakuan-perakuan Jawatankuasa Audit Dalaman.

  1. Apa-apa pandangan tambahan Ketua Pendaftar selain daripada apa-apa pandangan yang telah diberi atas akaun semasa yang telah diaudit hendaklah dibentangkan ke mesyuarat agung yang berikutnya atau pun mana-mana mesyuarat agung khas yang diadakan sebelum mesyuarat agung berikutnya.
  2. Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah bersidang dan membuat syornya tidak kurang daripada dua kali tiap-tiap tahun dalam mana-mana koperasi berdaftar dan laporan-laporan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pendaftar.

Bahagian 8: Pertikaian

33. Rujukan pertikaian

  1. Rujukan sesuatu pertikaian kepada Ketua Pendaftar di bawah subseksyen 82(1) Akta boleh dibuat oleh Lembaga, atau oleh koperasi melalui suatu ketetapan dalam mesyuarat agung, atau oleh mana-mana pihak kepada pertikaian itu dalam borang yang ditetapkan dalam Jadual III.  Jika pertikaian adalah berkenaan dengan sejumlah wang yang kena dibayar oleh anggota Lembaga kepada koperasi, rujukan boleh dibuat oleh mana-mana anggota koperasi itu.
  2. Jika, menurut perenggan 82(3) (b) Akta, Ketua Pendaftar memutuskan untuk merujuk pertikaian itu kepada suatu timbang tara, dia boleh merujuknya kepada-
    1. penimbang tara tunggal yang dilantik olehnya; atau
    2. tiga orang penimbang tara di mana setiap pihak kepada pertikaian itu hendaklah menamakan seorang penimbang tara dan Ketua Pendaftar hendaklah menamakan orang yang ketiga yang juga menjadi pengerusi. Jika mana-mana pihak kepada pertikaian itu gagal menamakan seorang penimbang tara dalam masa lima belas hari dari tarikh pemberitahuan untuk berbuat demikian, Ketua Pendaftar sendiri boleh membuat penamaan tersebut.
  3. Segala pertikaian selain daripada yang dinyatakan dalam subseksyen 82(1) Akta hendaklah dirujuk kepada mesyuarat agung koperasi berdaftar itu untuk penyelesaian. Apa-apa soalan tentang sama ada pertikaian tersebut termasuk dalam maksud subseksyen 82(1) Akta hendaklah diputuskan oleh Ketua Pendaftar dan keputusannya adalah muktamad.

Bahagian 9: Pergabungan

34. Pergabungan sukarela di antara koperasi berdaftar

Sesuatu koperasi berdaftar boleh bergabung dengan koperasi-koperasi berdaftar lain tertakluk kepada prosedur berikut:

  1. sebelum sesuatu koperasi berdaftar memutuskan perihal pergabungan, Ketua Pendaftar hendaklah diminta pendapatnya untuk menentukan kemungkinan atau sebaliknya pergabungan tersebut;
  2. tiap-tiap koperasi yang berhasrat untuk bergabung hendaklah mengambil suatu resolusi di suatu mesyuarat agung yang mempersetujui pergabungan itu dan menetapkan tarikh berkuatkuasanya pergabungan tersebut;
  3. tiap-tiap anggota koperasi hendaklah diberitahu mengenai resolusi itu, dan hendaklah diminta untuk menyatakan secara bertulis persetujuannya ataupun sebaliknya kepada cadangan pergabungan itu dan pemindahan aset dan liabilitinya dalarn koperasi itu kepada koperasi gabungan yang dicadangkan itu dalam borang yang ditetapkan dalain Jadual IV;
  4. sekurang-krangnya tiga perempat daripada jumlah keanggotaan pada tarikh resolusi itu hendaklah menyetujui pergabungan itu;
  5. bagi maksud pergabungan, aset-aset anggota adalah terdiri daripada-
    1. syer atau yuran;
    2. baki keuntungan yang belum dibahagikan pada hari sebelum tarikh pergabungan itu; dan
    3. kumpulan wang penyamaan dividen;
  6. semua penghutang, penjamin dan penggerenti hendaklah diberitahu tentang resolusi untuk bergabung itu dan hendaklah diminta menyatakan secara bertulis persetujuan mereka atau pun sebaliknya mengenai pemindahan liabiliti mereka dalam koperasi itu kepadakoperasi gabungan;
  7. jika penjamin dan penggerenti membantah pemindahan liabiliti mereka, penghutang hendaklah mendapatkan penjamin dan penggerenti baru sebelum tarikh pergabungan di bawah perenggan (b);
  8. jika seseorang penghutang membantah kepada pemindahan liabilitinya kepada koperasi gabungan, penghutang itu hendaklah menyelesaikan semua hutangnya kepada koperasi itu dalam tempoh yang munasabah tidak melewati tarikh pergabungan itu;
  9. semua pemiutang hendaklah diberitahu mengenai cadangan pergabungan itu dan hendaklah diminta menyatakan secara bertulis persetujuan merekaatau sebaliknya mengenai pemindahan liabiliti koperasi itu yang kena dibayar kepada mereka oleh koperasi gabungan itu. Jika bantahan dibangkitkan, sesuatu senarai pemiutang yang membantah itu dan amaun yang kena dibayar kepada mereka hendaklah disediakan;
  10. akaun semua koperasi yang terlibat dalam pergabungan itu hendaklah ditutup sehari sebelum tarikh berkuatkuasa pergabungan itu dan akaun-akaun ini hendaklah diaudit dengan sewajamya dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh pergabungan itu;
  11. walau apa pun perenggan (j), Ketua Pendaftar boleh, atas permohonan mana-mana koperasi yang terlibat dalam pergabungan itu, melanjutkan tempoh tersebut kepada suatu tempoh lain sebagaimana yang difikirkannya patut;
  12. segala aset dan liabiliti hendaklah dipindahkan kepada koperasi gabungan pada tarikh pergabungan itu tetapi, sebelum aset dan liabiliti tersebut dipindahkan, peruntukan hendaklah dibuat bagi mengembalikan kesemua wang yang kena dibayar kepada pemiutang dan anggota yang menentang selepas ditolak apa-apa wang yang kena dibayar oleh mereka kepada koperasi;
  13. apa-apa perbezaan nilai sebagaimana yang ditunjukkan dalain akaun yang teraudit dengan sempumanya dan aset dan liabilitinya yang dipindahkan pada tarikh pergabungan itu hendaklah diambilkira dan pelarasan hendaklah dibuat seterusnya;
  14. pengembalian wang yang kena dibayar kepada  anggota yang menentang itu hendaklah tidak terrnasuk syer bonus hasil daripada apa-apa penilaian semula aset tetap koperasi itu. Syer bonus tersebut hendaklah dipindahkan kepada koperasi gabungan dan hendaklah dipegang sebagai amanah bagi pihak anggota yang menentang itu sehingga syer bonus itu dipindahkan kepada anggota koperasi gabungan itu;
  15. syer bonus yang dipegang sebagai amanah dibawah perenggan (n) hendaklah layak kepada apa-apa dividen yang diisytiharkan dan bolehlah dibayar oleh koperasi gabungan itu;
  16. koperasi-koperasi yang bergabung adalah terhenti wujud pada tarikh pergabungan itu dengan syarat bahawa koperasi-koperasi ini hendaklah terus melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan proses pergabungan yang belum selesai pada tarikh pergabungan itu; dan
  17. koperasi gabungan yang terhasil itu hendaklah dianggap telah mengambil alih, pada tarikh pergabungan itu, aset, hak dan liabiliti koperasi-koperasi yang bergabung itu.

Bahagian 10: Kumpulan Wang Pusat Koperasi

35. Pentadbiran Kumpulan Wang Pusat Koperasi.

  1. Bagi maksud subseksyen 75(8) Akta, Ketua Pendaftar hendaklah mentadbir Kumpulan Wang Pusat Koperasi dengan melaburkan atau mendepositkan wang itu-
    1. dalam mana-mana bank;
    2. dalam mana-mana sekuriti Kerajaan Persekutuan atau kerajaan mana-mana Negeri;
    3. dalam sekuriti-sekuriti berfaedah tetap yang diterbitkan di Malaysia dengan kebenaran Perbendaharaan, oleh mana-mana pihak berkuasa awam atau berkanun;
    4. dalam mana-mana syer yang pertama kali diterbitkan yang diluluskan oleh Kerajaan;
    5. dalam mana-mana koperasi yang menjalankan urusniaga bank; atau
    6. dalam pembelian hartanah dan bangunan-bangunan.
  2. Ketua Pendaftar boleh menggunakan Kumpulan Wang Pusat Koperasi dibawah subseksyen 75(8) Akta dan apa-apa pendapatan daripada pelaburan-pelaburan di bawah subperaturan (1) bagi manfaat dan pembangunan pergerakan koperasi, dan jika jumlah wang yang akan digunakan itu melebihi satu ratus ribu ringgit, kebenaran Menteri adalah diperlukan.

Bahagian 11: Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi

36. Tafsiran.

Dalam Bahagian ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

Jawatankuasa
ertinya Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah peraturan 38;
Maktab Kerjasama
ertinya Maktab Kerjasama Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Maktab Kerjasama (Pemerbadanan) 1968;
Pengerusi
ertinya Pengerusi Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah peraturan 38;
tahun kewangan
ertinya tempoh dari hari pertama bulan Januari sehingga hari ke tiga puluh satu bulan Disember tahun yang sama.

37. Akaun Kumpulan Wang Amanah Pendidikan

  1. Maka hendaklah diwujudkan suatu akaun amanah yang dikenali sebagai Akaun Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (kemudian daripada ini dipanggil ‘Akaun Amanah’) yang diletakkan di bawah kawalan Menteri.
  2. Tujuan Akaun Amanah ini adalah seperti berikut:
    1. bagi membiayai perbelanjaan berkenaan dengan pengendalian Maktab Kerjasama;
    2. bagi membiayai perbelanjaan berkenaan dengan kajian ke atas pergerakan-pergerakan koperasi;
    3. bagi membiayai perbelanjaan untuk mengadakan seminar, persidangan atau mesyuarat koperasi, dan penyertaan koperator atau mana-mana orang lain yang dicalonkan oleh Jawatankuasa ke seminar, persidangan atau lawatan sarnbil belajar koperasi di peringkat antarabangsa; atau
    4. bagi membiayai perbelanjaan untuk memajukan pendidikan koperasi dalam apa jua bentuk yang difikirkan relevan oleh Jawatankuasa.

38. Jawatankuasa Akaun Amanah

  1. Bagi maksud menasihati Menteri mengenai pentadbiran Akaun Amanah, suatu Jawatankuasa hendaklah ditubuhkan yang terdiri daripada-
    1. Ketua Setiausaha Kementerian yang dipertanggungjawabkan dengan pembangunan koperasi sebagai Pengerusi;
    2. Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi atau alternatifnya Timbalan Ketua Pengarah sebagai Timbalan Pengerusi;
    3. Pengarah Audit dan Akaun Jabatan Pembangunan Koperasi sebagai Setiausaha;
    4. Pengetua Maktab Kerjasama; dan
    5. empat orang yang mewakili koperasi-koperasi yang dilantik oleh Menteri.
  2. Pengarah Audit dan Akaun Jabatan Pembangunan Koperasi hendaklah menyimpan akaun yang teratur dan rekod-rekod lain berkenaan dengan operasi Akaun Amanah itu dan hendaklah menyediakan penyata-penyata akaun bagi setiap tahun kewangan.
  3. Suatu mesyuarat Jawatankuasa hendaklah dipanggil oleh Pengerusi sekurang-kurangnya sekali setahun.
  4. Tiga orang anggota menjadi suatu kuorum.
  5. Tertakluk kepada subperaturan(6), semua keputusan di mesyuarat Jawatankuasa hendaklah diluluskan dengan suatu undi majoriti biasa semua anggota Jawatankuasa yang hadir dan mengundi dengan syarat bahawa jika dalam apa-apa persoalan undi adalah sama banyak, Pengerusi mempunyai undi pemutus.
  6. Anggota Jawatankuasa yang disebutkan dalam subperenggan (l)(d) tidak mempunyai hak mengundi di mesyuarat Jawatankuasa.
  7. Tertakluk kepada Peraturan-Peraturan ini,Jawatankuasa ini boleh menerima pakai prosedurnya sendiri berhubung dengan mesyuarat Jawatankuasa.

39. Caruman kepada Akaun Amanah.

Caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi adalah apa-apa jumlah wang sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri menurut subseksyen 57(2) Akta, dengan syarat bahawa caruman itu bolehlah juga dibuat kepada Tabung Amanah daripada derma-derma.

40. Pembayaran daripada Akaun Amanah

  1. Semua pembayaran yang dibuat daripada Akaun Amanah hendaklah bagi maksud yang disebutkan dalam subperaturan 37(2) dan hendaklah dibuat dengan baucar-baucar yang disahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian yang dipertanggungjawabkan dengan pembangunan koperasi.
  2. Akaun Amanah hendaklah pada setiap masa disimpan secara kredit dan dalam apa hal keadaan sekalipun tidak boleh terlebih keluar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *